Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cari formula kembalikan sokongan belia kepada kerajaan – Syed Saddiq

MELAKA, 19 JAN: ‘Post-mortem’ Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis memain peranan penting bagi mengetahui masalah sokongan belia terhadap Pakatan Harapan (PAKATAN) dan mencari cara untuk mengembalikan sokongan itu, kata Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata perbincangan bersama semua pemimpin PAKATAN pada `post-mortem’ itu diharap mampu menghasilkan formula dan strategi berkesan bagi memastikan sokongan anak muda kembali kepada PAKATAN.

“Saya rasa semua kepimpinan akan hadir untuk bincang perkara ini secara menyeluruh. Panggilan `post-mortem’ penting untuk kita bedah siasat, fahami masalah dan apa yang kita perlu lakukan bersama,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Hari Keluarga Bersatu di Bandar Hilir di sini yang turut dihadiri EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan EXCO Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effendi Ahmad.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata PAKATAN akan melakukan `post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan itu dan pandangan rakyat Sabah terhadap pemerintahan kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :