RAWANG, 13 FEB: Sukan golf antara permainan elit yang akan dipromosi secara lebih agresif dalam kalangan anak muda di Hulu Selangor, kata ahli dewan negeri Batang Kali.
Harumaini Omar berkata usaha Kementerian Pendidikan Malaysia memajukan sukan golf dengan melibatkan acara berprestij itu dalam Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) amat membanggakan.
“Apabila bidang ini diceburi ia akan mencipta fenomena baharu untuk Hulu Selangor mengetengahkan bakat-bakat muda dalam permainan golf.
“Walaupun sukan golf merupakan bidang baharu di Hulu Selangor, namun saya percaya kita sebenarnya bukan daerah yang ketinggalan memandangkan kita masih menjuarai bidang-bidang lain,” katanya pada Majlis Penutup Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) Selangor 2020 di Bukit Beruntung Golf & Country Resort di sini hari ini.
Katanya, terdapat empat kelab di Hulu Selangor yang sentiasa menarik pemain golf profesional dari seluruh negara dan antarabangsa daripada keseluruhan 300 kelab golf di negara ini.