SHAH ALAM, 25 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan ujian dan saringan Covid-19 pada skala lebih besar terutama di kawasan berisiko tinggi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata strategi kerajaan adalah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan.
“Usaha akan terus dilakukan untuk mencegah penularan Covid-19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung jangkitan ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan.
“Ini bermakna, pergerakan orang ramai mesti terus dikawal. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan menerusi pergaulan harian.
“Justeru, anda mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen hari ini.