SHAH ALAM, 13 APRIL: Urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara tertakluk kepada peraturan di negara tersebut selain kerajaan tidak menanggung kos kepulangan mereka.
Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana terdapat negara yang menguatkuasakan sekatan perjalanan dan membatalkan semua penerbangan bagi mengekang penularan Covid-19.
“Bagaimanapun, Wisma Putra sentiasa berbincang dengan pihak berkuasa negara terbabit bagi membawa pulang rakyat Malaysia.
“Sekiranya kerajaan diberi kebenaran membawa balik rakyat kita, kos perlu ditanggung individu berkenaan dan penerbangan khas pulang akan diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata jumlah tangkapan terhadap individu yang ingkar PKP bertambah, sekali gus menunjukkan polis tidak lagi berkompromi.
Katanya, seramai 1,471 orang ditahan semalam kerana ingkar PKP yang merangkumi 949 dikenakan kompaun RM1,000 manakala 503 direman dan 19 diberi jaminan polis.
“Semalam juga seramai 51 individu dituduh di mahkamah kerana ingkar PKP. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP meningkat kepada 8,647 orang manakala 3,105 kompaun telah dikeluarkan,” katanya.