ADNSELANGOR

Selesai sumbang 90 peratus, Seri Setia terus hulur bantuan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berjaya mengagihkan sumbangan pada tahap 90 peratus kepada penduduk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ahli dewan negerinya.

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya kini sedang dalam fasa merangka sumbangan seterusnya dan bercadang mahu memberi lampin pakai buang terutama kepada warga emas dan bayi.

“Kita bercadang fokus kepada dua kumpulan ini namun barangan asas lain masih diberi perhatian terutamanya beras sebab itu antara keperluan asas.

“Cuma, saya merayu kepada penduduk yang sudah terima beras atau bantuan asas lain untuk beri peluang kepada orang lain. Ini kerana selepas disiasat kita dapati terdapat beberapa rumah ada lebih dua kampit beras tetapi masih meminta bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Halimey berkata penduduk diharap bersikap jujur dan tidak tamak sebaliknya memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, DUN Seri Setia turut menerima 132,000 keping penutup mulut dan hidung dari kerajaan yang bakal diedarkan menerusi ahli majlis kepada seluruh pengundi di kawasan tersebut.


Pengarang :