Foto Facebook Datuk Ismail Kamus
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga Ismail Kamus

SHAH ALAM, 8 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.

“Menerima perkhabaran duka Ustaz Datuk Ismail Kamus pulang ke Rahmatullah. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan solihin di syurga penuh nikmat. Takziah diucapkan kepada keluarga Almarhum,” tulisnya.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Negeri Gombak Setia pada 1999 hingga 2004 meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam tadi di kediamannya di Ampang.

Perkara tersebut disahkan melalui Facebook rasmi pendakwah berkenaan.

“Dukacita dimaklumkan Tuan Guru Datuk Ismail Kamus meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” menurut kenyataan tersebut.

Pada 26 April lalu, Allahyarham, 72, dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mempunyai jangkitan paru-paru.

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang.

Allahyarham kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.


Pengarang :