Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti diteruskan, sasar rumah kebajikan warga emas

SHAH ALAM, 7 MEI: Kejayaan Saringan Komuniti yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bulan lalu akan diteruskan dengan mensasarkan rumah kebajikan warga emas dan anak yatim di kawasan titik panas  Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan memfokuskan saringan ke atas orang tua dan kanak-kanak termasuk penghuni rumah-rumah kebajikan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Yang paling penting penjejakan dapat dibuat. Jadi rumah ini (pusat kebajikan) adalah keutamaan di kawasan titik panas.

“Berdasarkan saringan di Hulu Langat kita kesan Covid-19 tidak bergejala di rumah warga emas. Oleh itu, kita utamakan mereka kerana berisiko jangkitan wabak ini,” katanya ketika ditemu bual Agenda Awani menerusi panggilan Skype malam tadi.

Menurut Amirudin, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) juga bersedia untuk melaksanakan saringan di kawasan penempatan warga asing sekiranya ada keperluan.

Beliau berkata pemilihan lokasi dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mensasarkan kawasan yang diisytiharkan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan untuk menjejak jangkitan.

“Kerajaan Selangor memang berkerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan akan melihat ikhtiar secara bersama untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Kerajaan Negeri pada 11 hingga 23 April lalu melaksanakan program Saringan Komuniti yang pertama di negara ini bagi membanteras penularan Covid-19.

Dalam program dari rumah ke rumah secara bersasar dan pandu lalu di Hulu Langat; Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam; Petaling dan Klang; Shah Alam; Sepang; Hulu Selangor serta Gombak, seramai 5,433 individu disaring, 10 daripada mereka disahkan positif termasuk lapan tiada gejala.


Pengarang :