Antara petugas MPSJ yang menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan Covid-19 menggunakan Unit COMBAT dibangunkan Hospital UiTM Sungai Buloh. – Foto MPSJ
AGENDANASIONAL

Semua daerah di Selangor bebas zon merah Covid-19

SHAH ALAM, 19 MEI: Sembilan lagi daerah di Selangor hari ini bebas daripada zon merah apabila semua kes aktif Covid-19 berada bawah 41 kes.

Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan, dua mukim iaitu Hulu Bernam dan Hulu Yam juga bersih daripada kes aktif.

Mukim berstatus zon hijau pula meningkat kepada 32 daerah manakala Petaling bertambah baik kepada zon kuning.

“Kini Selangor telah bebas daripada daerah zon merah. Tahniah semua warga Selangor yang berdisiplin.

“Warga Selangor dilarang merentas negeri untuk beraya di kampung. Beraya di rumah sendiri lebih selamat bagi orang tua serta komuniti anda.

“Gunakan teknologi yang ada untuk berhubung ketika raya nanti. Manfaatkan teknologi untuk eratkan silaturrahim keluarga,” tulis STFC di Facebook.

Bagaimanapun, sebanyak 12 lagi mukim dicatatkan masih berada dalam zon merah iaitu Kapar, Klang, Ampang, Hulu Langat, Kajang, Bukit Raja, Damansara, Petaling, Sungai Buloh, Batu, Hulu Kelang dan Dengkil.

Sementara itu, secara keseluruhannya, kes baharu Covid-19 di negeri ini menurun dua kes hari ini dengan enam individu positif berbanding lapan semalam.

Jumlah keseluruhan Covid-19 di negeri ini kini 1,650 kes dengan 101 adalah kes aktif.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.


Pengarang :