Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor catat kes positif Covid-19 tertinggi, kluster baharu

SHAH ALAM, 20 JUN: Sebanyak 12 daripada 21 kes baharu positif Covid-19 di seluruh negara hari ini dicatatkan di Selangor.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua daripada 12 kes itu adalah kes import membabitkan seorang warganegara Malaysia dan bukan warganegara iaitu pemastautin tetap.

“Bagi 10 kes penularan tempatan iaitu tujuh kes saringan beberapa pusat tahfiz dan madrasah dan satu kes kluster warga emas Kuala Selangor iaitu ahli keluarga kepada kes ke-8,510.

“Satu kes lagi petugas barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan.

Selangor turut merekodkan satu kes positif menerusi kluster baharu dinamakan Kluster Lanjut apabila seorang individu dari Labu Lanjut, Sepang didapati positif pada 5 Jun lalu.

Jumlah kes baharu kedua tertinggi direkodkan Kuala Lumpur dengan tujuh kes membabitkan kontak rapat yang merupakan rakan serumah kepada kes positif ke-8,498 dan 8,523.

Dr Noor Hisham menjelaskan satu kes baharu juga dikesan di Negeri Sembilan membabitkan saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban sebelum dipindahkan ke penjara manakala satu lagi tidak bergejala di Sabah menerusi saringan komuniti Pejabat Kesihatan Kawasan dan individu itu dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.

Sehingga kini Kuala Lumpur kekal dengan jumlah kumulatif Covid-19 tertinggi dengan 2,430 diikuti Selangor (2,021) dan Negeri Sembilan (996).


Pengarang :