Petugas keselamatan menyukat suhu jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang pada 19 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sistem penggiliran solat jemaah ikut SOP, bukan pilih kasih

SHAH ALAM, 20 JUN: Sistem penggiliran solat berjemaah di masjid di negeri ini bertujuan memberi keadilan kepada semua pihak, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata pemilihan menunaikan solat di masjid terutama Jumaat dibuat mengikut tatatacara operasi piawai (SOP) dan bukan berdasarkan pilih kasih.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berulang kali mengingatkan kepada saya berhubung perkara ini kerana mahu pastikan masyarakat Islam berpeluang solat berjemaah selepas berbulan-bulan lamanya tidak dapat berbuat demikian,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata Jais akan melakukan pemantauan bagi memastikan pengurusan masjid melakukan tugas dengan baik dan mengikut SOP.

“Beberapa hari lepas ada pihak tuduh Jais macam-macam, mereka cakap hendak solat di masjid pun kena ada kabel kalau tidak jangan harap dapat peluang solat berjemaah.

“Semua dakwaan tidak betul kerana Selangor antara negeri yang amalkan sistem penggiliran, tidak seperti sesetengah negeri yang mana pengurusan masjid itu sendiri yang tentukan pemilihan jemaah,”
katanya.

Khamis lalu Sultan Selangor membenarkan bilangan jemaah di Masjid Negeri ditambah daripada 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).

Sultan Sharafuddin menitahkan jumlah jemaah di 39 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang manakala masjid di seluruh negeri yang berada dalam mukim zon hijau,
bilangan jemaah dihadkan 40 orang.


Pengarang :