SHAH ALAM, 7 JULAI: Kluster Pangsapuri Cheras dan Gombak yang diisytihar tamat Ahad lalu mencatatkan 13 kes terkumpul semuanya.
“Dua kluster masing-masing mencatatkan lapan dan lima kes positif wabak ini. Bagaimanapun kluster ini tidak merekodkan kematian,” kata Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook hari ini.
Ahad lalu, KKM mengesahkan 56 kluster tamat dengan penambahan dua kluster terbabit.
STFC turut memaklumkan tiga kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan 2,065 kes di negeri ini.
“Kadar kes baharu masih rendah dan terkawal. Situasi ini juga bergantung kepada tahap disiplin warga Selangor mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri Selangor.
“Sentiasa berdisplin mengikuti norma baharu,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan terdapat enam kes baharu dengan tiga darinya dilaporkan di Selangor membabitkan dua kes import dari Rusia dan satu penularan tempatan.