SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 66 daripada 16,359 individu yang masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19 bermula 10 Jun hingga semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka kini menerima rawatan di hospital manakala 16,293 yang negatif diarah menjalankan kuarantin wajib di rumah.
“Semalam, seramai 1,000 rakyat tempatan pulang dari beberapa negara antaranya Iran, Indonesia, Jepun, India dan Belanda. Dua daripadanya positif dan dihantar ke hospital manakala yang lain hanya kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata sebanyak 1,230 individu yang menjalani kuarantin di rumah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).
Bermula 10 Jun lalu, kerajaan tidak lagi menempatkan pengembara di pusat kuarantin, sebaliknya diarah berada di rumah selama dua minggu.