Pengunjung menjamu selera di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Plaza Tol Awan Besar, Kuala Lumpur pada 10 Jun 2020 selepas gerai makanan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tingkat penguatkuasaan pastikan semua sektor patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pihak berkuasa perlu meningkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan mereka bagi memastikan semua sektor di negara ini mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang disarankan kerajaan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata tanpa pemeriksaan berkala kakitangan penguat kuasa, SOP akan dipandang ringan yang menyaksikan orang ramai akan merasakan keadaan sudah kembali normal.

“MMA ingin mengingatkan masyarakat awam Malaysia bahawa pandemik Covid-19 belum diisytiharkan berakhir. Masih terdapat kes yang aktif dalam negara dan hampir semua orang berisiko dijangkiti jika langkah pencegahan tidak diambil.

“Oleh itu, kita tidak boleh terleka. Ia adalah tanggungjawab bersama. Semua orang mempunyai peranan dalam perjuangan menentang Covid-19. MMA yakin kita akan berjaya jika kita semua memainkan peranan masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan.

Dr Ganabaskaran berkata persatuan itu mendapati bahawa tahap pematuhan terhadap SOP telah menurun dengan begitu mendadak sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan timbul kebimbangan apabila jumlah kes baharu Covid-19 meningkat semula kepada dua digit selain kluster baharu dikesan.

“Ekonomi Malaysia masih terjejas selepas tiga bulan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Satu lagi PKP mungkin lebih menjejaskan. Sesetengah perniagaan mungkin tidak akan pulih. Keluarga mungkin tertekan akibat beban kewangan susulan kerugian yang dialamai dan ini boleh membawa kepada isu kesihatan.

“Kita tidak boleh melaksanakan satu lagi PKP, oleh itu adalah lebih baik jika kita semua memainkan peranan masing-masing sebagai sebuah negara dan mematuhi sepenuhnya langkah berjaga-jaga yang mudah dalam SOP. Ia adalah untuk kebaikan kita sendiri,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :