Anggota polis membuat pemeriksaan dalam Op Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor pada 1 September 2020. Foto Facebook Polis Petaling Jaya
BERITA UTAMASELANGOR

Polis Selangor sasar kes jenayah turun lima peratus

PETALING JAYA, 1 SEPT: Polis Selangor menyasarkan penurunan jumlah jenayah indeks sebanyak lima peratus menerusi Operasi Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor yang dilancarkan hari ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Selangor Datuk K Kumaran berkata operasi sehingga 30 September itu dilancarkan berikutan jumlah jenayah indeks yang tinggi di negeri ini terutama selepas bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata antara jenayah indeks yang membimbangkan dan akan diberi perhatian dalam operasi itu ialah samun jalanan yang banyak dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

“Memandangkan kes berkenaan menimbulkan trauma dan boleh mendatangkan ketakutan dalam kalangan masyarakat, polis Selangor mengambil langkah serius membendung gejala ini.

Datuk K Kumaran melancarkan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor di IPD Petaling Jaya hari ini. Foto Facebook Polis Petaling Jaya

 

“Masyarakat diminta tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat jenayah bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya selepas melancarkan operasi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan akan melibatkan 742 pegawai dan anggota daripada sembilan IPD iaitu Petaling Jaya, Serdang, Kajang, Gombak, Ampang Jaya, Sungai Buloh, Shah Alam, Klang Utara dan Klang Selatan.

“Konsep operasi bersepadu ini adalah secara ‘mobile’ dan statik dengan pemeriksaan dan sekatan jalan raya akan diadakan di tempat tertentu.

“Selain itu, serbuan turut akan dijalankan bagi menangkap penjenayah atau orang dikehendaki yang dikenal pasti,” katanya.

Jenayah indeks yang dicatatkan di negeri ini bermula 1 Jan sehingga semalam ialah samun berkawan tanpa senjata sebanyak 1,031 kes, samun tanpa senjata api (610), curi (2,095), curi motokar (1,020), curi motosikal (3,001) dan pecah rumah (1,838).

– BERNAMA


Pengarang :