Pengunjung menjamu selera di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Plaza Tol Awan Besar, Kuala Lumpur pada 10 Jun 2020 selepas gerai makanan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Makin ramai ingkar PKPP, 778 orang ditahan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bilangan individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terus meningkat dengan 778 orang ditahan setakat semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 98 individu direman, tujuh dijamin manakala 673 pula dikompaun.

“Kesalahan meliputi aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (127), gagal merekod butiran pelanggan (14) dan aktiviti dalam pub atau kelab malam (600).

“Selain itu, dua kesalahan gagal mematuhi arahan kuarantin, premis beroperasi lebih masa (12) dan beroperasi tanpa lesen perniagaan (7) serta tidak memakai pelitup muka (16),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan polis akan memohon bantuan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pusat hiburan yang beroperasi lebih masa termasuk menarik semula permit.

Keseluruhannya, sebanyak 63,125 pemeriksaan dilakukan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP.


Pengarang :