Penduduk di kawasan perumahan AU3, Lembah Keramat beratur ketika menunggu untuk mendapatkan air dari pili awam pada 5 September 2020 berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi sejak beberapa hari lalu. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air pulih lebih 70 peratus

SHAH ALAM, 7 SEPT: Sebanyak 948 daripada 1,292 kawasan terjejas menerima bekalan air setakat jam 6.30 pagi ini, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya berkata secara keseluruhan, sebanyak 73.37 peratus kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya.

“Wilayah Petaling pulih 91.78 peratus, Klang/Shah Alam (38.42 peratus), Gombak (72.99 peratus), Kuala Lumpur (47.37 peratus), Hulu Selangor (100 peratus), Kuala Langat (50 peratus) dan Kuala Selangor (99.25 peratus),” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 71 kawasan dalam kumpulan satu masih belum menerima bekalan air susulan penyimpanan berlebihan oleh pengguna yang sudah menerima bekalan.

Justeru, katanya, Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang masih terjejas.

“Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual,” kata Elina lagi.

Maklumat berhubung status gangguan bekalan air boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :