Mohd Yusri Mohd Ali menunjukkan bungkusan Nasi Briyani Hj Ali Batu Pahat yang dijual di salah satu cawangannya di Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh pada 25 September 2020
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Ditipu pengimport Arab, resipi bapa jadi penyelamat

FOTO FIKRI YUSOF

DIPERDAYA pengimport dari Arab Saudi hingga kerugian kira-kira RM600,000 mengakibatkan perniagaan yang diusahakan Mohd Yusri Mohd Ali gulung tikar.

Malah, aset Myma Frozen Sdn Bhd yang mengeluar produk ayam percik dan ayam berempah sejuk beku juga terpaksa dijual bagi melangsaikan hutang sekitar RM450,000.

Malangnya, hanya RM100,000 diraihnya. Modal pusingannya terjejas. Tiada pilihan lagi, beliau terpaksa menghentikan operasi. Syarikat yang dibangunkannya sejak 2012 terpaksa ditutup.

Semuanya gara-gara pengimport Arab berkereta mewah jenama Bentley yang beberapa kali berurus niaga dengannya. Awalnya, bayaran termasuk pendahuluan 30 peratus dilunaskan.

Namun, beliau tertipu jua, lebih parah membabitkan kuantiti besar. Alasannya, kontena memuatkan makanan sejuk beku ‘sangkut’ di kastam sedangkan semakan menunjukkan ia sudah pun diambil.

Mohd Yusri, 37, tidak patah semangat, enggan tunduk kepada takdir. Berbekal modal RM500 beliau mula berniaga nasi beriani warisan keluarga.

Pun begitu, belum pun setahun berjualan, ketika perniagaan mulai rancak, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 mengehad perkembangan perniagaan.

Mohd Yusri Mohd Ali (kiri) bersama pekerjanya memeriksa kualiti nasi beriani yang diusahakan secara turun-temurun

Tetapi Mohd Yusri tidak mati akal. Beliau beralih kepada konsep e-dagang termasuk menyertai program e-Dapur Selangor. Ternyata, hasil jualan memberangsangkan. Sepanjang tempoh PKP, beliau meraih keuntungan lebih RM60,000.

Legasi bapa

Ketika mula-mula berniaga nasi beriani di depan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam, beliau hanya menggunakan peralatan ala kadar – payung, meja dan kelengkapan memasak. Hasil jualannya kecil, hanya 3kg beras digunakan.

Namun, berkat jenama Nasi Briyani Hj Ali Batu Pahat yang diwarisi daripada bapanya agak popular sejak 40 tahun lalu, perniagaan Mohd Yusri kian mendapat sambutan.

Keistimewaan nasi itu terletak pada 12 jenis rempah berkualiti yang diadun dengan kaedah tersendiri. Pilihan aneka lauk seperti kambing masak beriani, daging masak beriani, ayam masak kuzi dan ayam masak merah menambahkan lagi kelazatan.

Jualan meningkat hingga 500 hingga 1,000 bungkus nasi beriani terjual sehari. Lebih melegakan, beliau mula mampu membayar hutang.

Mohd Yusri sekali gus menjadi penerus legasi bapanya yang memulakan perniagaan pada 1980 dengan membuka payung di kaki lima di Batu Pahat sebelum beralih kepada gerai tolak diikuti premis tetap dan akhirnya membuka restoran diteruskan.

Sertai e-dapur

Apabila wabak melanda, Mohd Yusri meneruskan perniagaan dengan menggunakan perkhidmatan e-panggilan Foodpanda. Hampir 600 bungkus nasi beriani terjual melalui kaedah itu.

Menjelang Ramadan pula, beliau berniaga melalui program bazar e-Dapur Selangor anjuran Kerajaan Negeri. Pada hari pertama, Mohd Yusri hanya menyediakan 50 bungkusan sahaja kerana risau tidak mendapat sambutan.

Pelanggan membeli nasi beriani yang terjual mencecah 500 hingga 1,000 bungkus sehari

Sebaliknya, beliau mendapati penghantar Grab Food terpaksa beratur hingga luar dewan berikutan banyak tempahan diterima sedangkan makanan belum dimasukkan ke bungkusan.

“Sekejap sahaja habis. Pada hari kedua saya tukar strategi. Bungkus siap-siap supaya Grab Food tidak perlu tunggu lama. Kami juga tambah hingga 300 pek sehari. Hasilnya, purata jualan sehari mencecah RM2,500,” katanya.

e-Dapur juga membuka jalan kepada Mohd Yusri untuk memohon pinjaman Hijrah Selangor sebanyak RM5,000 bagi membiayai kos penyediaan dapur berpusat dan pejabatnya di Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras. Dalam dua bulan, beliau melunaskan pinjaman itu.

Ketika PKP pemulihan, Mohd Yusri berniaga pula di empat lokasi di Taman Saujana Utama, Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Sungai Buloh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Saujana Utama mencatat jualan tertinggi diikuti Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Sungai Buloh dan UiTM, semuanya antara RM1,000 hingga RM3,500 sehari. Mohd Yusri juga berniaga di Bazar Karat Shah Alam, karnival selain menerima tempahan syarikat atau jabatan kerajaan.

Beliau memasang impian untuk mengembangkan perniagaan Nasi Briyani Hj Ali Batu Pahat tetapi senantiasa berhati-hati agar pisang tidak berbuah dua kali, serik ditipu.


Pengarang :