SHAH ALAM, 22 OKT: Sebanyak 132 kes baharu Covid-19 jangkitan tempatan direkodkan di Selangor hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 59 kes terdiri daripada kluster sedia ada dan baharu manakala 55 kes dikesan hasil saringan kontak rapat kes positif pandemik itu.
“Lapan kes membabitkan individu pulang dari Sabah manakala 10 kes lagi dari lain-lain saringan.
“Selangor turut mencatatkan lima kes import, empat jangkitan dari India dan satu Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 109 kes di negeri ini disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.
“Setakat 12 tengah hari tadi juga 847 kes baharu dilaporkan di negara ini menjadikan keseluruhan 23,804 kes. Kes aktif sebanyak 8,183.
“Terdapat pertambahan lima kematian membabitkan warga emas, empat di Sabah dan satu di Kedah. Ini menjadikan keseluruhan 204 kes,” katanya.