Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting selepas sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar saran kerajaan lanjut moratorium tiga bulan lagi

SHAH ALAM, 22 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan supaya kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tempoh tiga bulan lagi.

Ketua pembangkang berkata langkah itu dapat membantu rakyat dan sektor perniagaan menempuh kemelut sepanjang pandemik Covid-19 yang dijangka akan berpanjangan.

“Kerajaan harus tonjolkan kepimpinan yang punya kualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi.

“Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil dan gaji kepada pekerja sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Pengerusi Pakatan Harapan dalam kenyataan hari ini.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar untuk tempoh tiga bulan dengan fokus kepada golongan benar-benar memerlukan seperti mereka hilang pekerjaan atau masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Selepas tiga bulan menurutnya, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Sementara itu, Anwar turut menegur arahan bekerja dari rumah seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita kini di minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang. Terdapat banyak kekeliruan terkait tatacara operasi piawai (SOP). Ini bukan bahan ketawa tatkala melibatkan atau mengesankan kehidupan jutaan rakyat.

“Meski kita telah lapan bulan sejak diumumkan PKP, nampaknya kita masih belum jelas soal stategi kerajaan dalam menangani kemelut ini dan tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi,” kata ahli parlimen Port Dickson.

Beliau berkata arahan bekerja dari rumah tidak masuk akal apabila golongan berpendapatan rendah di bahagian operasi dikehendaki bekerja seperti biasa dan mempersoalkan bagaimana langkah itu dapat membantu aspek kesihatan awam.

Katanya, perubahan di saat akhir termasuk arahan melibatkan pekerja sektor awam dan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilihat menambah rumit orang ramai serta membazir masa.

“Kerajaan perlu telus dan informatif terutamanya melibatkan dasar jelas dalam mendepani kemelut. Ia tidak membina keyakinan samada domestik atau kepada pelabur luar apabila kenyataan penting dibuat tanpa kajian menyeluruh.

“Meski kerajaan mengumumkan aktiviti ekonomi dibenarkan namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan.

“Menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000 iaitu 15 peratus dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang,” kata Presiden KEADILAN.


Pengarang :