Saringan Covid-19 dilakukan kepada kakitangan dan petugas media sebelum berlangsungnya sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

STFC: Penularan tempatan Covid-19 naik, Pancang Bedena zon kuning

SHAH ALAM, 25 OKT: Angka kes baharu Covid-19 di Selangor membabitkan penularan tempatan meningkat kepada 1,291 dalam tempoh dua minggu sejak 12 hingga 25 Oktober.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Petaling yang berstatus zon merah merekodkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 532 kes dengan 276 daripadanya di mukim Sungai Buloh.

“Bagi daerah sama, mukim Petaling merekodkan 134 kes diikuti Damansara (100) dan Bukit Raja (22),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kes kumulatif kedua tertinggi direkodkan Hulu Langat dengan 214 kes diikuti Klang yang turut berstatus zon merah (206), Gombak (127), Kuala Langat (105) dan Sepang (77).

STFC memaklumkan satu kes di Pancang Bedena menyebabkan mukim berkenaan kini berstatus zon kuning tunggal di Sabak Bernam sementara Hulu Selangor merekodkan 16 kes dan Kuala Selangor 13 kes.

Selangor merekodkan 88 kes baharu sehingga jam 12 tengah hari tadi, meningkat berbanding 76 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan 3,968 kes.

Selain itu, satu kluster baharu dikesan di Selangor iaitu Kluster Mentari dengan 17 kes disahkan positif wabak setakat ini.


Pengarang :