KUALA LUMPUR, 10 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup pejabat dan kaunter cawangan Klang pada hari ini untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dan sanitasi.
Penutupan sehari itu diambil selepas salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan.
“Anggota yang mempunyai temu janji di KWSP Klang yang dijadualkan pada 10 November 2020 diminta untuk memasuki kemudahan Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu) bagi menjadualkan semula lawatan mereka.
“Cawangan itu akan dibuka semula menjelang 11 November 2020, dari 9 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kakitangan KWSP Klang yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah melalui ujian saringan Covid-19 dan kini menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
Semua pekerja lain di cawangan berkenaan juga diarahkan untuk melalui ujian Covid-19.
-BERNAMA