BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Almarhum DYMM Sultan Salahuddin terus dikenang rakyat

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH AFIX REDZUAN

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mewarisi kerajaan yang utuh berkat kepimpinan ayahanda baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Almarhum Sultan Salahuddin dinobat sebagai Sultan Selangor kelapan pada 3 September 1960 susulan kemangkatan Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj dua hari sebelumnya. Majlis pertabalan berlangsung pada 26 Jun 1961.

Sebelum itu, almarhum dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada 1 Ogos 1946 dan dimahsyur sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pengkalan Batu, Klang pada 1934, Sultan Salahuddin kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hingga Disember 1941 apabila meletus Perang Dunia Kedua.

Di sebalik kekacauan akibat perang, baginda menyambung pengajian di School of Oriental and African Studies, Universiti London pada 1947 hingga 1949.

Sekembalinya ke tanah air, Sultan Salahuddin berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai pegawai pelatih Jabatan Ukur Negeri Selangor sebelum dilantik sebagai nazir sekolah selama lapan bulan.

Pada 1952, baginda menyertai Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan selama enam bulan dan ditauliahkan `Queen Commission’ dengan pangkat kapten seterusnya mejar.

Sultan Salahuddin mempunyai empat putera dan lapan puteri hasil tiga perkahwinan baginda bersama Raja Nor Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, Cik Mahiran dan Tengku Ampuan Rahimah Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah.

Menerusi perkahwinan bersama Tuanku Siti Aisyah Abdul Rahman yang bergelar Cik Puan Besar Selangor pada 3 Mei 1990, pasangan diraja itu tidak dikurniakan anak.

Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 23 September 1999 hingga 21 November 2001, menggantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Dalam tempoh 39 tahun, almarhum adalah Sultan Selangor kedua dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas ayahandanya, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah selaku Yang di-Pertuan Agong kedua.

Namun, Sultan Sir Hisamuddin mangkat beberapa jam sebelum istiadat pertabalan berlangsung pada 1 September 1960.

Baginda kemudian mengisytiharkan Tengku Idris Shah sebagai Pemangku Raja Selangor.

Antara peristiwa penting ketika pemerintahannya ialah Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan yang disaksikan oleh Raja-Raja Malaysia diadakan di Istana Negara pada 1 Februari 1974.

Detik bersejarah itu dipotret dalam lukisan karya Pelukis Diraja Selangor, Datuk Azman Yusof dan dipamerkan di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Lukisan itu memaparkan almarhum mewakili Selangor manakala Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mewakili kerajaan persekutuan.

Berjiwa rakyat

Sultan Salahuddin sering turun ke lapangan mendekati kehidupan rakyat dengan menjelajah ke setiap daerah.

Baginda mengambil berat hal ehwal rakyat luar bandar dan cakna perkembangan semasa selain gemar bergurau-senda. Setiap kali lawatan rasmi ke sesebuah lokasi, ribuan rakyat hadir. Situasi itu menunjukkan baginda popular dalam kalangan segenap lapisan masyarakat.

Sultan Salahuddin juga sentiasa bermurah hati untuk menghulurkan bantuan peribadi setiap kali berlaku bencana di Selangor.

Selain itu, baginda turut mengambil berat tentang perkembangan agama Islam dengan menitahkan supaya rakyat mengikut ajaran sebenar.

Baginda kerap mengingatkan semua pihak supaya masjid tidak dicemari dengan sentimen politik yang mengakibatkan perpecahan sesama rakyat.

Di samping itu, baginda turut menekankan soal integriti dan ketelusan dalam pentadbiran serta menggalakkan pengisytiharan harta pimpinan Kerajaan Negeri.

Berdasarkan New Straits Times (NST) pada 1981, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengisytiharkan harta.

Pengisytiharan itu termasuk jumlah harta isteri dan ahli keluarga, serta pegangan saham. EXCO juga perlu melepaskan semua jawatan supaya bebas daripada sebarang aktiviti perniagaan.

Dalam kesibukan tugas rasmi selaku pemimpin utama, Sultan Salahuddin tetap meluangkan masa untuk bermain golf, sukan kegemaran baginda. Baginda juga merupakan presiden Persatuan Golf Diraja Alam Shah. Di Shah Alam, Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah terletak di Seksyen 13.

Sultan Selangor kelapan juga suka berjoging dan memandu bot di perairan Pantai Morib dan Port Dickson.

Selain itu, baginda mempunyai hobi mengumpul kenderaan antik selain menanam dan mengumpul pelbagai spesies bunga orkid.

Diingati ramai

Tanggal 21 November 2001, negara dikejutkan dengan berita kemangkatan Sultan Salahuddin di Pusat Rawatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur setelah gering selama dua bulan.

Baginda menghembuskan nafas terakhir jam 11.57 pagi ketika berusia 75 tahun. Ketika itu, baginda masih Yang di-Pertuan Agong. Jenazah almarhum disemadikan di Makam Diraja Selangor, Klang.

Nama Sultan Salahuddin banyak diabadi di beberapa bangunan di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai mengenang jasa almarhum kepada negara serta mentadbir negeri selama 41 tahun.

Jalan Sultan Salahuddin dinamakan sempena nama baginda di Istana Selangor yang terletak di Kuala Lumpur. Selain itu, pusat pentadbiran utama negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga bersempena nama baginda.

Paling diingati pastinya pembinaan Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Seksyen 14 Shah Alam yang dirasmikan pada 11 Mac 1988.

Almarhum sendiri mengilhamkan pembinaannya dengan kos RM160 juta selepas Shah Alam diisytihar sebagai ibu negeri.


Pengarang :