Penguat kuasa MPS memeriksa lesen perniagaan dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kawasan perindustrian Selayang Utama, Batu Caves, Gombak pada 10 Jun 2021. Foto MPS
PBTSELANGOR

MPS: Dua premis diarah tutup, tujuh dikompaun langgar syarat lesen

SHAH ALAM, 11 JUN: Dua premis diarah tutup kerana menjalankan perniagaan berbeza daripada syarat lesen dan melanggar arahan sama dikenakan sebelum ini.

Tindakan ke atas pemilik kilang pemprosesan makanan dan pemborong alat tulis itu dikeluarkan dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Selayang Utama, Batu Caves, Gombak semalam.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata tujuh premis turut dikompaun atas pelbagai kesalahan melanggar syarat lesen.

“Operasi bagi memantau pematuhan syarat lesen perniagaan selain tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 60 premis dilawati dan daripada jumlah itu 35 premis diperiksa serta baki 25 lagi tidak menjalankan operasi,” kata Ahmad Fauzi Ishak menerusi kenyataan semalam.

Menurut Ahmad Fauzi, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada dua pekerja premis kerana gagal mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera.

“MPS berharap peniaga yang mendapat kebenaran menjalankan operasi sepanjang PKP mematuhi SOP supaya rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan.

“Pemantauan bersama rakan agensi akan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa supaya masyarakat tidak leka dan tindakan dikenakan kepada mereka yang ingkar,” katanya.

 


Pengarang :