EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud ditemui SelangorKini selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program Sidang Perpaduan platform bertemu rakyat, pemimpin pelbagai kaum

SHAH ALAM, 20 SEPT: Program Sidang Perpaduan anjuran Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) menjadi platform pertemuan antara rakyat dan pemimpin pelbagai kaum.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata penganjuran itu membolehkan semua pihak berbincang dan bertukar pandangan untuk mencari penyelesaian serta membawa agenda penyatuan.

“Apa yang ingin kita semua mahu lihat dalam negara bukan sekadar toleransi tetapi menerima rakan-rakan bukan seagama dan sentiasa memahami.

“Apabila memahami hakikat atau cara hidup serta cabaran orang lain, ini lebih menyatukan kita. Perkara ini dapat dilihat apabila masyarakat menyokong satu sama lain ketika negara dilanda Covid-19,” katanya.

Beliau berucap dalam program Sidang Perpaduan yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya malam tadi.

Menerusi sesi soal jawab bersama peserta program, Dr Siti Mariah memaklumkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ingin menganjurkan aktiviti kemasyarakatan perlu berjumpa dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan.

“Kerajaan Negeri memerlukan sukarelawan yang minat berkecimpung dalam program kemasyarakaran terutama untuk mengadakan program berkaitan kesihatan dan pemakanan sihat.

“Kalau peruntukan tidak cukup, jangan segan berjumpa wakil rakyat kawasan masing-masing untuk mendapatkan sedikit peruntukan, saya percaya ADN peka dengan aktiviti sukarelawan,” katanya.

Pada 3 Julai Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM1 juta diperuntuk untuk menggerakkan usaha perpaduan dan integrasi negeri termasuk penubuhan MPIS.

MPIS berfungsi bertindak sebagai badan penasihat dan pemikir berkaitan polisi perpaduan di negeri ini.


Pengarang :