Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada seorang warga asing dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Vaksin bergerak di Kampung Padang Jawa dan Sijangkang esok

SHAH ALAM, 20 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak akan diteruskan lagi di dua lokasi esok di Kampung Padang Jawa, Klang dan Kampung Medan, Sijangkang.

Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar yang betul.

Kod baucar DBT21SEP perlu dimasukkan bagi Selvax Kampung Padang Jawa manakala DJ21SEP untuk Selvax Dewan Wawasan Kampung Medan Sijangkang.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September dari jam 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

 


Pengarang :