Beberapa pengunjung meluangkan masa bermain futsal di Sport Station Futsal Balakong, Kajang pada 19 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kemudahan sukan jadi tumpuan semula, penggemar futsal teruja

BALAKONG, 20 SEPT: Penggemar aktiviti sukan menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor sukan secara berkumpulan seperti gelanggang futsal kembali beroperasi.

Tengku Azha Tengku Yusoff, 50, berkata beliau teruja dengan pengumuman itu dan kesempatan itu disifatkan dapat mengatasi kebosanan selain meningkatkan stamina.

Tengku Azha Tengku Yusoff. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini hanya boleh jogging namun tidak sepuas dan seronok seperti bermain futsal secara beramai-ramai memandangkan saya memang seorang yang aktif bersukan serta sering melakukan aktiviti ini bersama rakan sebaya.

“Malah, bersukan dan beriadah bukan hanya untuk kesihatan badan tetapi memberi kesan positif terhadap mental juga,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, 22, yang juga aktif bersukan berkata pembukaan semula gelanggang futsal merupakan berita gembira buatnya selepas lebih enam bulan tidak beraksi.

Ahmad Taufeq Ismadi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya seronok kerana dapat berkumpul semula dengan rakan-rakan di samping boleh mengamalkan gaya hidup sihat seperti sebelum ini,” katanya.

Manakala, Raja Muhammad Azhan Shah, 50, berharap masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) supaya tiada lagi sekatan aktiviti sukan berkumpulan selepas ini.

“Jika kerajaan umumkan lagi penutupan disebabkan kes Covid-19 meningkat susulan penglibatan ramai dalam sukan ini, saya reda tetapi kecewa dan berharap kita semua amalkan sikap ‘kita jaga kita’,” katanya.

Pada 15 September Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan terbuka serta tertutup kepada individu lengkap vaksin dengan pematuhan SOP penuh.


Pengarang :