Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media berkenaan vaksin SelVAX Komuniti, penyelenggaraan aset air serta langkah mitigasi kejadian banjir di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 7 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selenggara loji rawatan elak insiden terputus bekalan air masa depan

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 akan melancarkan proses penyaluran bekalan air kepada pengguna pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kerja yang dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mulai minggu depan dapat mengelakkan berlaku kerosakan di loji rawatan.

Beliau berkata perkara itu antara tiga faktor yang menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna selain bekalan air mentah tidak cukup dan insiden luar kawalan termasuk pencemaran dan paip pecah akibat perbuatan pihak ketiga.

“Jadi dengan penyelenggaraan, kita dapat elak satu faktor iaitu kerosakan loji rawatan. Dengan kurangnya risiko ini, bermakna selagi ada air mentah, kita tidak akan terputus bekalan,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin juga memberi contoh kejadian kegagalan loji rawatan di Wangsa Maju  berikutan tidak dapat menampung lebihan kapasiti pernah berlaku hingga mengakibatkan mesin memproses air terganggu.

“Pada 2018 pula, pam loji meletup disebabkan tidak dapat tahan tekanan hingga menyebabkan gangguan air selama seminggu. Jadi, kita tidak mahu ini berulang hingga ada yang cedera.

“Ini hendak elak letupan, kerosakan dan kegagalan loji yang kerap berlaku,” kata beliau merujuk situasi yang dihadapi pentadbiran Kerajaan Negeri antara 2008 hingga 2013.

Justeru, beliau berharap orang awam di Lembah Klang memahami keputusan Kerajaan Selangor untuk menyelenggara dan menaik taraf loji SSPI demi kepentingan masa depan.

Baru-baru ini, Air Selangor meminta penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan air secukupnya.

Sebanyak 105 lori tangki air turut digerakkan ke kawasan terlibat selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerja penyelenggaraan yang dijadual bermula jam 9 pagi pada 13 Oktober dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :