SHAH ALAM, 24 JAN: Seramai 192 individu dari daerah Petaling dan Klang dikurniakan pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75.
17 daripada jumlah itu dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 70 dikurniakan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 86 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 19 pula Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mewakili Sultan Selangor berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat kebesaran di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Keberangkatan Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.
PPT dianugerah kepada individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala PPC terdiri pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji.
PJK pula dianugerahkan kepada individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.
Manakala PPS dianugerah kepada individu terdiri kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.
Pengurniaan pingat kebesaran bagi 2020 itu tertangguh susulan Covid-19 dan bertujuan menghargai jasa serta sumbangan bakti dicurahkan individu terbabit kepada masyarakat dan negeri.
Pada 10 Januari lalu, seramai 354 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.