EXCO Perumahan Rodziah Ismail menggulung usul titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 17 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rumah Idaman penuhi hasrat rakyat miliki kediaman, sasar bina 78,182 unit

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 78,182 unit Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan dibina untuk rakyat negeri ini dalam tempoh beberapa tahun.

Menurut EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail, sebanyak 4,819 unit sedang dalam pembinaan di tiga daerah sejak projek dimulakan pertengahan 2020.

Jelasnya, usaha bawah Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik bagi merangsang ekonomi khususnya sektor pembinaan dan hartanah pascapandemik Covid-19.

“Memang rumah yang dibina belum ada yang siap lagi sebab projek mula pertengahan 2020. Kita jangka projek berterusan tahun ini dan lihat 44,304 unit dibina dalam tempoh beberapa tahun.

“Kita terima 5,298 permohonan oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan setakat ini 4,819 unit dalam pembinaan manakala baki ditampung Rumah Harapan yang dibina swasta,” katanya.

Model Rumah Idaman yang ditawarkan Kerajaan Negeri berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM250,000 seunit. Foto laman web Idaman Selangor

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga menambah LPHS kini dalam proses menyediakan blueprint untuk Rumah Selangorku bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai selain lengkap kemudahan awam.

“Jika dahulu diletakkan di suatu kawasan yang tiada kemudahan atau akses menyebabkan rakyat berdepan dengan penambahan lain-lain kos,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual dengan harga RM250,000.


Pengarang :