Persembahan The Nabil Nazmi Trio dalam Blues Valley Jam sempena ulang tahun ke-48 Blues Gang di BSYNC Studio, Kuala Lumpur pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Bandar Utama cadang kurang duti hiburan, bantu artis terkesan pandemik

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri disaran mengurangkan duti hiburan dikenakan khususnya terhadap artis tempatan serendah mungkin bagi membantu golongan itu yang masih terkesan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata tempoh dua tahun pandemik menjejaskan pendapatan serta kelangsungan hidup bukan sahaja membabitkan artis tempatan malah kru belakang tadbir industri hiburan.

“Bandar Utama amat berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan secara lebih terperinci bagi membenarkan industri hiburan dapat hidup dan bernafas kembali serta menyumbang kepada ekonomi Selangor.

“Duti hiburan terutamanya untuk artis tempatan dapat dikurangkan sebanyak mungkin untuk tempoh tertentu sehingga kita yakin artis tempatan dan industri hiburan telah pulih kembali,” katanya ketika berbahas dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum tindakan Kerajaan Selangor mengurangkan pengutipan duti hiburan dari kadar 25 peratus kepada 15 peratus ke atas aktiviti kesenian atau pementasan artis tempatan.

“Cabaran bertambah dengan kapasiti maksimum tempat pementasan berkurangan akibat tatacara operasi piawai sebanyak 50 peratus kapasiti tempat duduk. Artis tempatan bukanlah mereka yang mampu menjana banyak keuntungan terutamanya pada waktu kini,” katanya.


Pengarang :