SHAH ALAM, 21 APRIL: Bekas menteri pendidikan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca bagi menjadikan ia sebahagian amalan hidupnya.
Meskipun tempoh bacaannya tidak menentu berikutan jadual harian yang padat, Dr Maszlee Malik tidak menjadikan alasan tersebut untuk meninggalkan rutin bacaannya.
“Saya tidak mempunyai waktu yang tetap. Ada waktu baca terlajak lebih, kadang baca sedikit. Apa yang penting setiap hari sekurang-kurangnya kita mesti bergelumang dengan buku.
“Kita perlu ada persoalan kenapa kita membaca kerana membaca untuk mencari penyelesaian dan mengutip makna,” katanya selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 minit di pekarangan parkir Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.
Dr Maszlee yang juga timbalan pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor mengakui meminati genre fiksyen dan pernah menghasilkan dua novel iaitu Helang Albania serta Shqiptar di Champs Elysees.
“Fiksyen adalah alam yang tidak bertepi, tiada keterbatasan fizikal yang ada dalam masyarakat tetapi kita bebas untuk merewang dalam dunia fiskyen yang kita baca,” katanya.