Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengetuai laungan takbir raya di Masjid Diraja Sultan Alaeddin, Kuala Langat untuk rakaman program Senandung Aidilfitri pada 25 Mac. Rakaman turut dibuat di satu lagi masjid dan surau terjejas banjir. Foto RASHID AL SYAWAL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Senandung Aidilfitri: MB ketuai laungan takbir di masjid terjejas bah

SHAH ALAM, 21 APRIL: Rumah ibadat terjejas bah pada Disember tahun lalu menjadi lokasi penggambaran takbir raya program Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri yang bakal disiarkan pada hari kedua Syawal.

Pengarah produksi Adon Dagok menjelaskan rumah ibadat berkenaan adalah Surau al-Munir Taman Sri
Nanding, Hulu Langat dan Masjid Taman Sri Muda di Shah Alam.

“Satu lagi lokasi pengambaran ialah Masjid Diraja Sultan Alaeddin di Kuala Langat. Di situ Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengetuai laungan takbir. Menariknya, ia turut disertai penduduk kampung.

“Kita guna tiga masjid supaya dalam rakaman memperlihat takbir bersahutsahutan di tiga masjid, mencerminkan penyatuan pemimpin dan rakyat. Sekali gus membangkitkan semangat untuk terus Bangkit Bersama setelah melalui pelbagai ujian dan musibah,” katanya kepada Selangorkini pada 19 April.

Adon menambah Senandung Aidilfitri kali ini, sama seperti program tahun lalu, juga menggunakan dron bagi penggambaran takbir raya.

“Bezanya, dron pada tahun ini diterbangkan dan berlegar-legar dalam ruang masjid. Kita gunakan pengendali dron profesional. Tak percaya? Saksikan nanti,” katanya.

Disiar di portal selangortv.my dan media sosial, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :