Pengarah Eksekutif Hijrah Selangor Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor melihat produk keluaran usahawan Hijrah Mahmud Mastam ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hijrah tawar pinjaman modal bantu usahawan kembang perniagaan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bukan hanya menawarkan pinjaman modal untuk memulakan perniagaan sebaliknya turut membantu usahawan memperluas pasaran produk.

Pengarah Eksekutif Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pelbagai inisiatif dilakukan pihaknya bagi memastikan produk ahli berjaya dipasarkan sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri usahawan.

“Bagaimanapun semua ini memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak. Hubungan erat antara Hijrah dengan agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan akan memudahkan urusan perniagaan.

“Tiada guna kita hanya beri pinjaman namun produk mereka tidak dimajukan. Kita letak hala tuju untuk bantu mereka dengan lebih baik,” katanya berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Pengurusan Korporat Hijrah Selangor 2022 di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi turut hadir ke majlis itu di Kelab Shah Alam.

Pada Februari lalu Mohamad Supardi memaklumkan seramai 58,000 usahawan mengembangkan perniagaan sejak Hijrah ditubuhkan tujuh tahun lalu.

Pada awal penubuhan, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta untuk mengupayakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Inisiatif membantu usahawan ditambah baik menerusi program Zero To Hero yang melaksanakan konsep melatih dan memantau peserta dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Pada 10 Februari 2021, Kerajaan Negeri melancarkan NaDi bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.


Pengarang :