Keadaan kolam ternakan ikan di Sungai Yu, Tanjung Karang. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

Kacau ganggu lalat, MPKS kompaun pemilik kolam ternakan ikan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan kompaun kepada pemilik kolam ternakan ikan di Sungai Yu, Tanjung Karang.

MPKS menerusi kenyataan memaklumkan tindakan itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat susulan kacau ganggu lalat di kawasan tersebut.

“Sebelum ini, MPKS telah mengeluarkan Notis Hapuskan Kacauganggu dan kompaun kesalahan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 tetapi pemilik masih gagal mematuhi.

Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyita beberapa kawasan kolam ternakan ikan yang menjadi punca kacau ganggu lalat di Sungai Yu, Tanjung Karang pada 28 Jun 2022. Foto Facebook MPKS

“Penguat kuasa bertindak menyita beberapa kawasan sekitar kolam ternakan dan pemilik dikenakan kompaun mengikut UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan perindustrian 2007 dan Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan,” kata kenyataan di Facebook.

Dalam kenyataan sama, kacau ganggu lalat itu didapati berpunca daripada bangkai ayam yang dijadikan makanan kepada ikan ternakan di situ.

Justeru, MPKS menegaskan kepada mana-mana pengusaha ternakan sentiasa menjaga kebersihan ladang dan kolam dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) agensi berkaitan.

Operasi tersebut dijalankan pada 28 Jun lalu melibatkan 24 anggota dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Perikanan Daerah Kuala Selangor.


Pengarang :