Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat penggulungan ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Wakil rakyat kerajaan yakin, pembangkang puji langkah berani laksana RS-1

SHAH ALAM, 6 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan minggu lalu menerima maklum balas positif wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan yakin kemampuan Selangor menggerakkan rancangan itu demi kemaslahatan negeri. dan rakyat.

Malah, beliau berkata ADN pembangkang turut memuji langkah berani Kerajaan Selangor membentangkan dokumen yang memperinci pelan pembangunan lima tahun negeri.

“Ini menunjukkan kebertanggungjawaban kita menawarkan sesuatu (kepada rakyat) berdasarkan fakta, data dan angka yang betul,” katanya dalam bicara Bernama TV malam tadi.

Bagaimanapun, beliau mengakui timbul beberapa keraguan daripada wakil rakyat pembangkang berhubung keberkesanan pelan terbabit.

“Biasalah, pihak pembangkang ada membangkitkan kebarangkalian misalnya kegagalan mencapai (rancangan) dan kemampuan melaksanakannya selain unjuran diberikan adakah realistik, pragmatik atau tidak.

“Tetapi secara asasnya rata-rata (pembangkang) beri maklum balas bahawa ini (RS-1) contoh bagaimana sebuah kerajaan tawar kepada rakyatnya dan bukan hanya menyebut dalam kenyataan secara bombastik atau propaganda,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul projek pembangunan RS-1 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion selepas dipersetujui semua ADN dan dibahas 28 wakil rakyat.

RS-1 menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Selain itu, ia dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.


Pengarang :