Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) (tengah) berkenan bertitah sempena Kongres Tahunan FAS ke-69 dan ke-70 di sebuah hotel di Klang pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Raja Muda tegaskan tiada ‘parasit’ dalam Selangor FC, seru penyokong bersatu

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menekankan dan memberi jaminan tidak pernah ada parasit dalam pengurusan pasukan Selangor FC.

Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC bertitah baginda sedar prestasi semasa tidak menyebelahi pasukan itu dan kini pengurusan sedang mengenal pasti kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Beta mengakui bahawa kita masih belum mencapai kejayaan di atas padang, namun beta tidak akan berputus asa dan tetap komited untuk membawa kelab ini ke peringkat yang tertinggi.

“Pelbagai pembaharuan dan pencapaian dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, pembangunan bola sepak, fasiliti dan pengkomersialan sudah beta jayakan.

“Oleh itu, beta ingin menyeru semua penyokong Selangor untuk terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecah-belahkan kita,” titah baginda menerusi kenyataan, hari ini.

Tengku Amir Shah mengesahkan sudah memberi perkenan surat peletakan jawatan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Izhar Moslim pada 7 Julai lalu.

Baginda memaklumkan Izhar tidak lagi terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Gergasi Merah.

“Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan jutaan terima kasih buat Izhar Moslim di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau sepanjang berada di kelab ini.

“Untuk makluman semua, Izhar Moslim menyandang jawatan naib presiden FAS dari tahun 2018 hingga 2019 dan meta melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah semasa Selangor FC diswastakan dan ditubuhkan pada tahun 2020,” titah baginda.

Sebelum ini, Selangor FC dikritik kerana tidak mempamerkan aksi memberangsangkan dalam saingan Liga Super dengan menghuni tangga kesembilan serta mengumpul 16 mata selepas 15 perlawanan.

Susulan itu, terdapat pihak tertentu mendakwa terdapat parasit dalam pengurusan Selangor FC dengan mengaitkan Izhar sebagai punca pretasi tidak konsisten pasukan berkenaan.


Pengarang :