SHAH ALAM, 30 OGOS: Proses penyenggaraan dan pembersihan longkang di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dilaksanakan bagi mengelak banjir kilat sekiranya hujan lebat berpanjangan.
Kuis memaklumkan langkah segera tersebut diambil hasil perbicangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang hari ini.
“Kunjungan ketua setiuasaha Kasa diadakan bagi membuat penilaian terhadap punca banjir kilat yang berlaku antaranya di kawasan kediaman pelajar, bangunan pentadbiran, Masjid Al-Azhar dan padang (kawasan rendah).
“Hasil perbincangan tersebut, beberapa cadangan diambil kira antaranya penyelenggaraan dan pembersihan segera longkang di seluruh kawasan kampus untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kuis susulan hujan berterusan sepanjang petang. Antara lokasi terjejas ialah parkir bangunan pentadbiran, Masjid Al-Azhar, kediaman pelajar dan beberapa kawasan rendah.