Foto DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office pada 30 Ogos 2022
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah hayati semangat merdeka, kenang jasa pejuang negara

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru rakyat negeri ini terus menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut meminta rakyat menyuburkan rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap nusa dan bangsa.

“Baginda berharap rakyat tidak “buta sejarah” dengan melupakan jerih perih perjuangan serta pengorbanan orang-orang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara ini.

“Dengan mengetahui sejarah negara sendiri, rakyat Malaysia boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan,” titah Baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

Kenyataan dikongsikan Facebook Selangor Royal Office turut menyatakan Baginda berdua mahu rakyat kekal hidup dalam suasana harmoni, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bertoleransi.

Baginda turut menyeru rakyat berganding bahu memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara selain mengelakkan campur aduk isu politik, perkauman dan agama yang boleh memecah belahkan rakyat.

“Paling utama, Baginda mengingatkan seluruh rakyat sentiasa berwaspada terhadap unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang kita nikmati sekarang,” menurut kenyataan itu.


Pengarang :