DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat persembahan suku kaum Mahmeri ketika Majlis Perasmian Port Klang Cruise Terminal di Port Klang Cruise Terminal, Klang pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang disaran tingkat perkhidmatan

KLANG, 5 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyaran terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) meningkatkan mutu perkhidmatan untuk mencapai taraf dunia.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah infrastruktur harus ditingkatkan demi keselesaan pelancong dalam dan luar negara yang berlabuh di terminal itu.

“Idea-idea baharu perlu diterokai bagi mengambil kesempatan terhadap pelancong yang menggunakan perkhidmatan kapal pelayaran untuk singgah ke Selangor serta Kuala Lumpur.

“Ia secara tidak langsung akan menghidupkan semula dan merancakkan industri pelancongan di Selangor,” titah Baginda ketika berkenan merasmikan PKCT di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berharap PKCT menawarkan peluang kerja kepada rakyat negeri ini melalui pengoperasian semula terminal sekali gus mengatasi masalah pengangguran.

“Kita semua sedia maklum bahawa pada suatu ketika dulu industri pelancongan merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri khususnya.

“Manakala guna tenaga dalam industri pelancongan pada satu ketika juga mencatatkan peningkatan dan membuka peluang kerja kepada rakyat,” titah Baginda.


Pengarang :