Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tujuh, kanan) bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama Orang Asli Mahmeri ketika Majlis Perasmian Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang di Klang pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembukaan semula terminal kapal peluang promosi pelancongan negeri

KLANG, 5 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap pembukaan semula terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) dimanfaatkan untuk mempromosi lokasi bersejarah negeri ini.

Selain memiliki banyak tempat menarik, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Selangor juga kaya dengan aneka juadah yang mampu memikat pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa hendaklah dilakukan secara intensif dan berkesan bagi memastikan Selangor tidak terlepas untuk menarik minat pelancong melawat negeri ini.

“Beta mahu Kerajaan Negeri bekerjasama dengan semua penggiat pelancongan daripada swasta dan kerajaan serta industri perhotelan untuk memperkenal pakej pelancongan menarik serta kreatif,” titah Baginda ketika merasmikan PKCT di sini hari ini.

Turut bersama Baginda ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permasuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

PKCT kini dimiliki Klang Port Management Sdn Bhd, anak syarikat Northport (Malaysia) Bhd dan Westports Malaysia Sdn Bhd yang diambil alih daripada Boustead Cruise Centre Sdn Bhd.

Beroperasi sejak 2015, terminal itu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan untuk kapal persiaran serta kapal armada tentera laut di kawasan seluas 69.8 ekar.

Ia turut dilengkapi ruang berhawa dingin, jambatan penghubung untuk naik dan turun kapal selain laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan antara dermaga serta terminal.

Turut disediakan ialah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kaunter pertukaran wang asing, kedai serbaneka, kedai cenderamata dan hadiah serta kedai bebas cukai.


Pengarang :