PETALING JAYA, 15 SEPT: Jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor mengurangkan separuh daripada belanja keperluan barangan dapur.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/09/mug-shot-1-1-500x346.jpg)
Penduduk Taman Medan, Baidah Tauran, 64, berkata menerusi program Jualan Ehsan Rakyat, pelbagai jenis barangan asas dapat dibeli dengan murah berbanding harga semasa pasaran.
“Hari ini makcik beli ayam, dua kampit beras, minyak masak dengan telur. Semuanya RM65 untuk bekalan dua minggu.
“Selalu kalau beli di pasar raya, harga untuk barangan ni hampir RM150. Jadi program ini memang menjimatkan dan bantu kos belanja keluarga,” katanya kepada SelangorKini.
Sementara itu pekerja kilang Shahrul Nizam Miskon, 45, berkata program seperti itu perlu kerap dilaksanakan memandangkan harga barangan dan makanan semakin naik.
Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau sememangnya menantikan program jualan murah itu kerana mampu meringankan beban belanja.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/09/mug-shot-2-1-500x356.jpg)
“Hanya saya berkerja dan perlu sara isteri serta empat anak berusia lapan hingga 18 tahun, semuanya masih sekolah.
“Hari ini ramai datang ke sini. Jadi memang semua rakyat mahu program ini supaya dapat berjimat cermat,” katanya.
Semalam, program Jualan Ehsan Rakyat DUN Taman Medan diadakan di pusat komersial Taman Jaya dan perkarangan Masjid Nurul Ehsan
Sebanyak 600 ekor ayam dan 600 kampit beras lima kg terjual dalam tempoh tiga jam menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di dua lokasi tersebut.
Selain itu, beratus papan telur gred B dan minyak masak botol lima kilogram yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran turut diborong penduduk.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk meneruskan program tersebut di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.