SHAH ALAM, 16 SEPT: Warga Selangor berpeluang membeli harga barangan makanan mentah dan asas dengan harga lebih rendah berbanding pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat, esok.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program jualan murah enam jenis barangan iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak diadakan di sembilan lokasi, mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari.
“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin atas kenaikan harga dan keperluan untuk melangsungkan kehidupan dengan menyediakan penyelesaian untuk manfaat semua,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Esok, jualan murah diadakan di DUN Kuang (pejabat ahli majlis zon 19 Dataran Setia), DUN Rawang (Tasik Taman Bersatu), DUN Lembah Jaya (tapak pasar tani Taman Ampang Indah) dan DUN Taman Medan (parkir Dewan Serbaguna MBPJ Jalan PJS 2G/6 serta depan Utara Seafood Blok 10 Desa Mentari 2).
Inisitif tersebut juga merangkumi DUN Kota Damansara (Dewan Komuniti MBPJ, Seksyen 7), DUN Kota Anggerik (pekarangan SJK (T) Midland Seksyen 7) dan DUN Dengkil (Dewan MPKK Sungai Merab dan Tasik Baginda Kampung Dato Abu Bakar Baginda)
Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk meneruskan program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.
Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.