Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SIBS peluang kembang niaga, jadikan negeri gerbang pelaburan Asean

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 medium pemain industri mengembangkan perusahaan selain memperkenal negeri sebagai gerbang pelaburan Asean.

Dato’ Menteri Besar berkata persidangan edisi keenam itu turut membuka ruang kepada pengilang, peniaga, pengimport, pelabur dan rakan kongsi berhimpun bagi membina jaringan kerjasama.

“Kami akan terus menyediakan saluran rangkaian seperti SIBS kerana sidang kemuncak perniagaan terbesar ini terbukti berjaya di rantau ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya berharap pemain industri dan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya sidang kemuncak yang berlangsung selama empat hari. Saya pasti banyak tawaran akan dicapai dalam masa singkat.”

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berucap sempena perasmian SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, Amirudin berbangga berikutan acara itu mampu diteruskan secara fizikal selepas dua tahun berdepan cabaran Covid-19.

“Sebagai negeri yang mempunyai penduduk padat, bukan rahsia lagi Covid-19 memberi kesan kepada Selangor sama ada daripada segi sosial dan ekonomi. Namun kita telah melepasi titik terburuk dan melihat jalan ke arah norma baharu.

“Saya bersyukur kerana kerajaan pusat dan pihak swasta memberi kerjasama yang baik dengan Kerajaan Negeri ketika menghadapi cabaran itu (pandemik),” katanya lagi.

Berlangsung mulai hari ini hingga 9 Oktober, SIBS 2022 menghimpunkan 906 pempamer daripada 623 syarikat tempatan dan antarabangsa dengan sasaran potensi jualan RM350 juta.

Acara itu merekodkan nilai transaksi RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjuran dengan menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.

Pada 2020, acara itu dibuat secara dalam talian susulan Covid-19 membabitkan 286 pempamer dan dilakukan secara hibrid pada 2021 meliputi 494 pempamer (fizikal) dan 623 (dalam talian).


Pengarang :