Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAC bimbang hutang negara naik ketara, cecah RM979 bilion

SHAH ALAM, 6 OKT: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bimbang kadar hutang negara mencecah RM979.814 bilion pada 2021, meningkat ketara RM100 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusinya berkata kadar berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara itu juga bersamaan 63.4 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lapor Astro Awani.

Berikutan itu, Wong Kah Woh yang juga wakil rakyat Ipoh Timor menjelaskan setiap 16 sen daripada RM1 hasil kerajaan terpaksa digunakan untuk membayar faedah hutang.

“Peningkatan ini juga menyebabkan liabiliti keseluruhan kerajaan persekutuan pada 2021 berjumlah RM1.298 trillion atau 84 peratus dari KDNK,” katanya.

Berdasarkan laporan itu, kerajaan meminjam RM217.201 bilion, meningkat 11.6 peratus berbanding 2020 dengan separuh daripadanya digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang.

Sementara itu, Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid gusar peningkatan jumlah pinjaman baharu, yang meningkat RM22.46 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Daripada RM217.201 bilion itu, beliau berkata, sebanyak RM113.764 bilion digunakan untuk membayar pinjaman matang, manakala hanya RM61.317 bilion digunakan untuk pembangunan.

“Memang kalau kita lihat dari segi angka terdahulu, pinjaman selalu dibuat untuk pembangunan terutamanya. Pada tahun ini dan tahun lepas, sebahagian pinjaman untuk menangani Covid-19.

“Cuma yang kita bimbang kenaikan hutang tinggi ini tidak boleh berterusan. Patut jadi langkah jangka pendek sahaja,” katanya.


Pengarang :