Pemilik KMK Agro Global Sdn Bhd Iqbal Ismail menunjukkan losen yang dihasil menggunakan tembikai wangi (rock melon) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Usahawan tani hasil losen guna tembikai wangi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Usahawan tani Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS) Iqbal Ismail menghasilkan produk penjagaan kulit, losen menggunakan tembikai wangi (rock melon).

Pemilik KMK Agro Global Sdn Bhd itu berkata kandungan ‘beta-carotene’ dalam buah berkenaan dipercayai boleh membuatkan kulit lebih sihat kerana mempunyai vitamin A.

“Sebelum ini kami hasilkan produk teh dan kopi dari buah berkenaan, kemudian tiga tahun lalu saya mula kaji penggunaan rock melon untuk losen. Akhirnya Februari tahun ini produk losen keluaran syarikat saya berjaya dicipta.

“Harga satu tiub losen ialah RM30 dan akan dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun ini oleh JPNS,” katanya yang memiliki 52 ekar ladang rock melon ketika ditemui Selangorkini.

Iqbal antara empat usahawan yang dibawa JPNS mempamerkan produk masing-masing di tapak pameran Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) yang berlangsung sehingga 9 Oktober ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPNS Zaliha Md Yusuf berkata produk lain turut dipamerkan ialah makanan bayi, madu kelulut dan sos cili.

“Kesemua mereka asalnya adalah usahawan tani yang kemudiannya menghasilkan produk seperti makanan dan juga kesihatan. Mereka dibawa ke sini untuk mempromosikan produk masing-masing,” katanya.

 


Pengarang :