SABAK BERNAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan perlumbaan peringkat 4 siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 di Pekan Sabak di sini, hari ini.
Pelepasan dari Pekan Sabak Bernam ke ke Meru Jaya, Ipoh sejauh 137.9 kilometer (KM) membabitkan 110 peserta dari pelbagai negara.
Amirudin dalam ucapannya berkata Selangor bertuah kerana daerahnya menjadi laluan pilihan bagi menjayakan kejohanan paling berprestij di Asia.
“Kita gembira kerana Sabak Bernam dipilih menjadi antara lokasi penganjuran LTdL 2022. Harap semangat bersama ini akan terus terjalin di masa depan dengan lebih gembira,” katanya.
Kejohanan lumba basikal edisi ke-26 ini melibatkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan perlumbaan meliputi 1,096.9 KM.
Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur; diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub); Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands); Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya).
Manakala Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim); Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar); Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Loop Langkawi).
Malaysia mempertaruhkan barisan perlumba negara Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Kee Zha Yie.
Selain itu, dua lagi pelumba negara Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat Abdul Aziz disenaraikan sebagai pelumba simpanan.
Edisi ini menjanjikan saingan sengit dengan penyertaan enam pasukan Jelajah Dunia iaitu UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).