Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima surat kelulusan pemberimilikan tanah (Notis 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu rakyat selesai milikan tanah, negeri lulus lebih 85,000 permohonan

SABAK BERNAM, 14 OKT: Kerajaan Selangor meluluskan lebih 85,000 surat permohonan pemberimilikan tanah (Notis 5A) untuk rakyat di seluruh negeri ini sejak 2008.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata serahan surat hak milik itu menamatkan keresahan penduduk berhubung status tanah yang didiami dan diusahakan sejak sekian lama.

“Pada masa ini kos memiliki sebidang tanah bagi sangat tinggi berikutan limpahan pembangunan dan kesuburan aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Namun Kerajaan Negeri tekad membantu rakyat dengan mengenakan kadar premium lebih rendah berbanding pasaran. Mereka juga diberi pilihan menentukan kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan.

“Bagi pemohon tidak mampu pula berpeluang memiliki tanah kediaman dengan perlu menjelaskan bayaran premium tanah mengikut syarat dan kelulusan diberikan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian surat kelulusan pemberimilikan tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat mukim Sabak di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan surat hak milik tanah bagi tujuan kediaman kepada 73 pemohon selepas diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 September tahun lalu.

Pada masa sama, beliau menyeru semua penerima memanfaatkan sebaiknya kelulusan hak milik selain menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak kerugian.

Amirudin juga berharap pemohon memastikan tanah hak milik tidak dijual sewenang- wenangnya hanya untuk mendapatkan keuntungan sementara dan tidak seberapa.


Pengarang :