IPOH, 21 OKT: Masalah ditanggung rakyat yang dilihat sewaktu Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negara diutamakan dalam manifesto gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ketua Setiusahanya berkata konsensus antara Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu dan DAP bakal memberi bantuan untuk menyelesaikan masalah itu.
“PRU15 ini adalah peluang kepada rakyat untuk memilih. Lawan kita mainkan sentimen agama dan perkauman, kita tidak akan menari dan ikut rentak itu.
“Kita beri tawaran untuk selesaikan masalah rakyat. Kita akan luncurkan manifesto ini sebelum penamaan calon,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Konvensyen HARAPAN malam tadi.
Majlis di Pusat Konsensyen Ipoh turut dihadiri Presiden HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Timbalan Presiden Mohammad Sabu, Anthony Loke dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Sementara itu, Loke berkata DAP akan setia bersama HARAPAN dengan mengekalkan prinsip melawan rasuah yang diperjuangkan sejak 20 tahun lalu.
“Satu lagi faktor penting kerana Anwar memperjuangkan politik melibatkan pelbagai kaum. HARAPAN gabungkan politik yang mempertahankan masyarakat majmuk.
“Kita terima kepimpinan Melayu tetapi semua kaum ada hak dan perlu diberi ruang dalam kerajaan. Ini yang diperjuangkan HARAPAN,” katanya.
Majlis malam tadi yang dihadiri lebih 7,000 ahli HARAPAN di seluruh negara turut mengumumkan Anwar sebagai calon perdana menteri sekiranya mendapat mandat rakyat.