EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau bercakap ketika sidang media perasmian karnival Deepavali di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 19 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Parlimen Klang tumpu selesai isu banjir, perparitan

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 1 NOV: Isu banjir dihadapi penduduk Klang antara tumpuan V Ganabatirau jika diberi mandat menerajui kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon DAP yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning berkata isu berkenaan dialami penduduk sejak bertahun lamanya selain masalah jalan, longkang dan perparitan.

“Semalam saya turun ke Pulau Indah, masalah banjir juga dihadapi. Jadi saya hubungi Jabatan Pengairan dan Saliran bersama ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri untuk cari penyelesaian sementara.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, saya sudah berjumpa dengan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim dan beliau setuju isu Pulau Indah perlu diselesaikan segera,” katanya hari ini.

Beliau yang ditemui pada majlis serahan peruntukan program bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat di sini optimis Pakatan Harapan (HARAPAN) akan kekal mentadbir Klang.

Menurut Ganabatirau, kepercayaan itu bersandarkan prestasi baik penyandang terdahulu selain parlimen berkenaan salah satu kubu kuat gabungan tersebut di Selangor.

“Sebenarnya Klang adalah kerusi yang memang akan dimenangi calon HARAPAN. Bukan (hanya) saya, sesiapa pun bertanding di Klang atas tiket Pakatan Harapan akan menang.

“Namun, apa yang penting bukan saja kita menang dengan selesa tapi mendapat daripada sokongan semua pihak. Itu yang saya mahu. Saya mahu menang atas sokongan semua pihak,” katanya.

Ganabatirau antara EXCO Kerajaan Negeri yang akan bertanding di parlimen selain EXCO Perumahan Rodziah Ismail yang ditempatkan di Parlimen Ampang.

Pada PRU14, Parlimen Klang dimenangi Charles Santiago dengan majoriti 78,773 undi.

 


Pengarang :