Kemudahan khemah yang disediakan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Selangor beransur surut, 297 keluarga masih di PPS

KLANG, 17 NOV: Keadaan banjir kilat yang melanda beberapa daerah sekitar Selangor sejak malam tadi beransur pulih khususnya di Klang dan Kuala Selangor berikutan paras air yang semakin surut.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan terjejas setakat 3 petang ini mendapati masih ada perkarangan rumah yang digenangi air terutamanya di Kampung Johan Setia, Klang malah paras air longkang serta parit di kawasan itu masih tinggi menghampiri jalan utama.

Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Kampung Johan Setia, Jamaludin Abdullah, 44, berkata air banjir setinggi paras betis yang memasuki rumahnya sekitar 2 pagi tadi juga kini sudah surut, namun kawasan rumahnya masih digenangi air.

“Walaupun sudah surut tapi saya tidak ingin ambil risiko untuk pulang ke rumah kerana paras air longkang masih tinggi. Baru dua hari lepas kemas rumah selepas banjir surut Isnin lalu.

“Kalau hujan malam ini mungkin air akan masuk kembali. Hujan dua jam sahaja tapi memang air akan naik tinggi sekejap sahaja,” katanya kepada pemberita di PPS berkenaan hari ini.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Johan Setia Othman Bakar, 65, pula berkata situasi banjir kali ini diurus lebih sistematik berbanding peristiwa sama Disember tahun lepas kerana penduduk kampung dalam keadaan bersedia dan tidak kelam kabut walaupun berpindah di awal pagi.

Sementara itu, petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Fazril Amirul Azali, 29, yang tinggal di Taman Sri Muda dekat sini memberitahu hujan lebat yang melanda kawasan itu malam tadi mengakibatkan bahagian dapur rumahnya dinaiki air hampir satu meter.

“Namun banjir telah surut pagi tadi cuma air di dalam longkang masih penuh, harap kejadian banjir teruk tahun lepas tidak berulang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Batu 7 dan Batu 8 di Kampung Asahan, Kuala Selangor mendapati paras air masih kekal di paras buku lali sekitar 2.40 petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Selangor PPj (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin dalam kenyataan memaklumkan 1,267 mangsa daripada 297 keluarga masih ditempatkan di 21 PPS setakat 4 petang ini, melibatkan masing-masing empat premis di daerah Kuala Selangor dan Sepang serta tiga di Sabak Bernam, Klang, Petaling dan Hulu Langat, manakala satu di Kuala Langat. – BERNAMA

 


Pengarang :